Monday, October 25, 2010

CTU 551


TAJUK:
Sejarah seorang saudara baru (muallaf) di kariah anda dan peranannya dalam dakwah

DISEDIAKAN OLEH:
Khairul Naim bin Sidek
No. Matrik: 2010277706
Kumpulan: ASB1Ag

DISEDIAKAN UNTUK:
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah CTU 551

PROGRAM:
Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kimia Gunaan (AS225)

TARIKH HANTAR:
26 Oktober 2010

===================================================


TAJUK:
Sejarah seorang saudara baru (muallaf) di kariah anda dan peranannya dalam dakwah


ISI KANDUNGAN:

1. Abstrak
2. Pendahuluan
3. Huraian
- Latar belakang
- Perjalanan hidup
- Cadangan
4. Penutup
5. Bibliografi

===================================================

ABSTRAK

Tajuk:
Sejarah seorang saudara baru (muallaf) di kariah anda dan peranannya dalam dakwah


Secara ringkasnya muallaf dapat ditafsirkan sebagai, orang bukan Islam yang memeluk Islam setelah mendapat hidayah dari Allah SWT dengan mengucap dua kalimah syahadah. Setelah mengucap dua kalimah syahadah, wajib keatasnya mengamalkan cara hidup Islam mengikut al-Quran dan as-Sunnah. Pada masa yang sama juga, perintah dan larangan dari Allah harus dipatuhi. Pada zaman sekarang, ramai yang berkahwin dengan pasangan yang berlainan agama. Bagi pasangan yang beragama selain Islam, terdapat diantara mereka yang memeluk agama Islam atas dasar perkahwinan. Ini merupakan satu gejala atau corak pemikiran yang harus diubah dalam kalangan pemuda. Jika seseorang itu memeluk islam kerana sesebuah perkahwinan, maka perkahwinan tersebut mungkin tidak akan dapat bertahan lama. Oleh itu, dalam melakukan sesuatu kerja, haruslah disertakan dengan keikhlasan. Sesuatu kerja yang disertakan dengan keikhlasan, insyaAllah akan mendapat keredhaan dari Allah. Tugasan kali ini adalah tentang seorang saudara baru (muallaf). Tujuan tugasan ini dijalankan adalah untuk menyelami pengalaman seorang saudara baru dan sedikit sebanyak tentang kisah hidupnya. Hasil daripada tugasan yang saya jalankan ini, diharap dapat menjadi renungan para pembaca.


===================================================


PENDAHULUAN

Assalamualaikum. Bersyukur saya ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurniaNya dapat saya menyempurnakan tugasan yang diberi oleh pensyarah CTU 551, Ustaz Abd Aziz Harjin. Tugasan ini akan diberikan kepada pelajar yang mengambil kursus CTU 551. Antara tajuk yang diberi untuk tugasan ini ialah ‘ Sejarah penubuhan dan kegiatan masjid di kariah anda ‘ dan ‘ Sejarah seorang saudara baru (muallaf) di kariah anda dan peranannya dalam dakwah ‘ .

Berdasarkan dua tajuk yang diberi, saya telah memilih ‘ Sejarah seorang saudara baru (muallaf) di kariah anda dan peranannya dalam dakwah ‘ sebagai tajuk untuk tugasan saya. Tajuk tugasan yang diberi seperti ini dapat meningkatkan keyakinan diri dalam diri seseorang pelajar. Kerana tugasan yang diberi seperti ini memerlukan pelajar untuk menemu bual pihak tertentu bagi mendapatkan maklumat. Disamping untuk menyiapkan tugasan yang diberi, pelajar memperoleh ilmu pengetahuan mereka semasa proses temu bual dijalankan.

Tujuan bentuk tugasan seperti ini diberi agar pelajar dapat memperkenalkan saudara baru atau masjid di kariah mereka kepada dunia luar. Kaedah ini dapat membuka mata para pembaca tentang dunia luar yang belum mereka terokai. Cara ini juga dapat memberi kelebihan kepada pelajar dalam beberapa aspek. Dalam usaha menyempurnakan tugasan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah saya, Ustaz Abd Aziz Harjin kerana telah banyak memberi bimbingan. Tidak lupa juga kepada kedua ibu bapa saya dan sahabat-sahabat yang banyak memberi dorongan dalam menyiapkan tugasan ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada Puan Nur Asyikeen sekeluarga kerana menjadi responden saya dalam menyempurnakan tugasan ini. Tanpa beliau, saya tidak dapat mengumpul maklumat yang diperlukan untuk tugasan ini.

Dengan hasil penulisan saya ini berharap agar para pembaca dapat mengenali saudara baru dan membimbing mereka ke jalan yang benar.


===================================================

HURAIAN

Latar belakang

Umum mengetahui bahawa perkataan muallaf membawa maksud kepada orang bukan Islam yang memeluk agama Islam setelah mendapat hidayah dan taufik dari Allah SWT. Saya telah memilih ‘ Sejarah seorang saudara baru (muallaf) di kariah anda dan peranannya dalam dakwah ‘ sebagai tajuk untuk tugasan saya.

Saya ingin menulis sedikit sebanyak tentang liku-liku hidup seorang saudara baru. Nama yang beliau gunakan setelah memeluk agama Islam ialah Nur Asyikeen Liew Abdullah. Beliau merupakan anak jati Simpang Rengam. Simpang Rengam terletak di dalam daerah Kluang di negeri Johor. Beliau membesar di Simpang Rengam. Nama beliau sebelum memeluk Islam ialah Liew Kim Fong. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Woon Hua. Sekolah ini terletak di Kampung Sri Tanjung Tun Dr. Ismail Simpang Rengam. Seterusnya, beliau meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Abdul Rahman Andak atau lebih dikenali sebagai SDARA.

Beliau meneruskan pelajaran sehingga tamat tingkatan lima iaitu sehingga tahun 1985. Setelah tamat pengajian di sekolah tersebut, beliau mengambil keputusan untuk bekerja sebagai pembantu di klinik pergigian yang terletak di Bandar Kluang. Kemudian beliau memeluk islam pada 15 Februari 1990 dan beliau terus mendalami islam dengan Ustazah Rogayah.

Tidak lama kemudian, beliau mendirikan rumahtangga bersama Md. Munawar bin Said pada tarikh 26 Oktober 1991. Hasil daripada perkahwinan yang dibina, beliau dikurniakan dua orang cahaya mata. Putera dan puteri beliau diberi nama Mohd Nazrin bin Md. Munawar dan Nur Aina binti Md. Munawar. Kini, beliau sekeluarga menetap di Taman Rengam Jaya di Simpang Rengam Johor.


Ibu saya bersama Pn. Nur Asyikeen dan sahabatnya.




Perjalanan hidup

Nur Asyikeen Liew Abdullah. Inilah nama yang beliau gunakan setelah memeluk Islam. Beliau mendapat pendidikan awal di SRJK (C) WOON HUA. Setelah itu beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Abdul Rahman Andak atau lebih dikenali SDARA. Sebelum memeluk Islam, beliau sudah mula berjinak-jinak dengan agama Islam ketika di usia remaja lagi. Semasa usia remaja, beliau turut mengikut amalan yang dilakukan oleh kawan-kawan Islam beliau. Antara amalan yang menjadi ikutan beliau ialah puasa.

Setelah tamat tingkatan lima, beliau berkerja sebagai pembantu di klinik pergigian yang terletak di Bandar Kluang. Semasa bekerja di klinik inilah beliau sedikit sebanyak menimba ilmu tentang Islam dengan seorang sahabat yang dikenali dengan nama Kak Tipah. semasa berkerja, beliau menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin untuk menimba ilmu dengan Kak Tipah.

Akhirnya setelah mendapat hidayah dan taufik Allah, beliau memeluk Islam pada 15 Februari 1990. Sungguhpun telah memeluk Islam, kerisauan di dalam hati beliau tetap ada. Pada awalnya beliau merasa bimbang jika dengan pengislamannya akan menimbulkan kemarahan dari pihak keluarga kandung. Oleh hal yang demikian beliau mengambil keputusan untuk merahsiakan pengislaman beliau selama 6 bulan.

Setelah 6 bulan berlalu, beliau dengan berani mendedahkan pengislaman beliau kepada keluarga. Alhamdulillah, keluarga kandung beliau dapat menerima keputusan dan tindakan yang diambil oleh beliau. Ibunya hanya berkata bahawa beliau sudah dewasa dan mampu membezakan baik dan buruk. Sungguhpun beliau telah memeluk Islam, hubungannya dengan keluarga kandung tetap erat seperti biasa. Setelah memeluk Islam, beliau masih mendalami tentang Islam bersama Ustazah Rogayah. Ustazah Rogayah yang banyak membantu beliau pada waktu itu. Ketika ini, beliau masih bekerja di klinik pergigian yang terletak di Kluang.

Setelah beberapa ketika, beliau bertukar pekerjaan kepada pendidik di Tadika Wawasan Pintar sehingga sekarang. Beliau mendirikan rumahtangga pada 26 Oktober 1991. Hasil dari perkahwinan tersebut beliau dikurniakan dua orang cahaya mata. Putera dan puterinya bernama Mohd Nazrin bin Md. Munawar dan Nur Aina binti Md. Munawar. Nama suami beliau ialah Md. Munawar Bin Said. Suami beliau sekerang bekerja sebagai seorang anggota polis di Balai Polis Pelangi, Johor Bahru. Kini anak sulung beliau sedang melanjutkan pelajaran di Kolej Yayasan Pelajaran Johor dalam Bidang Perhotelan. Manakala anak kedua beliau di tingkatan empat dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Abdul Rahman (SDARA), Simpang Rengam.

Beliau mempunyai keluarga angkat setelah memeluk Islam. En. Hamdan bin Ahmad dan Pn. Kamsiah bt Jaafar telah menjadi keluarga angkat beliau. Mereka inilah yang banyak memberi dorongan dan bimbingan kepada beliau dalam menempuh waktu-waktu sukar. Sungguhpun beliau telah memeluk islam, beliau tidak diabaikan oleh keluarga kandung.

Apabila beliau memeluk Islam, beliau telah menyertai sebuah persatuan. Persatuan ini adalah khusus untuk saudara baru. Persatuan ini akan membimbing ahli-ahlinya dengan bermacam- macam pendekatan. Persatuan tersebut dikenali sebagai Badan Kebajikan Saudara Kita. Penglibatan beliau di dalam persatuan ini sangat aktif, beliau memegang jawatan sebagai Bendahari di dalam persatuan ini. Dalam tempoh seminggu, persatuan ini mengadakan tiga kelas untuk saudara baru. Ini merupakan cara untuk membimbing saudara baru agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam memahami islam. Kelas-kelas diadakan pada hari ahad, selasa dan khamis. Pada hari ahad akan diadakan kelas fardhu ain, hari selasa akan diadakan kelas al-Quran dan pada hari khamis pula akan diadakan kelas yassin.

Pada kebiasaannya beliau akan hadir pada kelas tersebut. Persatuan ini juga pernah membuat pendekatan atau kelebihan untuk saudara baru. Antaranya ialah tambang untuk membuat umrah adalah sekitar RM 2000. Selain itu, persatuan ini turut mengadakan lawatan ke Beijing, China. Baru-baru ini, persatuan ini ada turut menganjurkan lawatan ke Sabah dan Sarawak. Sehingga kini, beliau masih giat aktif dalam persatuan tersebut. Secara tidak langsung, beliau dapat menjalankan kerja-kerja berdakwah apabila aktif dalam persatuan ini.

Pn. Nur Asyikeen Liew Abdullah bersama anak saudaranya.





===================================================


Cadangan

Mengikut pandangan saya, beliau adalah seorang yang mempunyai pendirian teguh. Ini dapat dilihat ketika beliau ingin melakukan sesuatu kerja. Apabila beliau inginkan sesuatu kerja itu berjalan lancar, beliau melakukannya sehingga berjaya. Beliau juga mahir dan fasih berbahasa cina. Oleh itu beliau sesuai membuka kelas tambahan di rumah untuk sesiapa yang ingin mempelajari bahasa cina. Semasa saya di sekolah rendah, saya juga pernah berguru dengan beiau.


===================================================


PENUTUP

Alhamdulillah, dengan izin Allah S.W.T akhirnya tugasan saya ini dapat disiapkan dengan sempurna tanpa sebarang masalah yang. Secara kesimpulannya, melalui tugasan yang saya jalankan ini berpanca pengajaran dan intipati dapat saya garap untuk dijadikan sebagai ‘role model’ atau uswatul hassanah. Berdasarkan kisah Pn. Nur Asyikeen Liew Abdullah, kita harus mencontohi beliau dalam berdakwah. Dalam menyampaikan dakwah, kita haruslah melakukannya dengan penuh keikhlasan. Saya berharap dengan hasil tugasan saya ini dapat memberi manfaat dan teladan kepada para pembaca. Pada kesempatan ini juga saya ingin memohon maaf sekiranya penulisan saya ini ada menyinggung mana-mana pihak. Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari saya.


==================================================


BIBLIOGRAFI

  • Puan Nur Asyikeen Liew Abdullah dan sekeluarga.
  • Al- Quran dan terjemahannya, terbitan Pustaka Darul Iman Sdn. Bhd.